Selesai iftar tadi, tiba-tiba saya teringat kisah beg sekolah koyak. Beg tersebut milik seorang pelajar saya dari SMK SS17 Subang Jaya. It was in October 2005. Saya mengajar di sesi petang ketika itu. Pelajar lelaki ini merupakan pelajar tingkatan 2 yang saya ajar subjek Kemahiran Hidup.
Suatu petang, jika tak salah saya, pada hari Selasa, saya tangkap beliau bergaduh dengan rakan sekelasnya. Instead of bringing him to see the discipline teacher, saya tarik dia ke tepi selepas kelas selesai dan bertanyakan sebab pergaduhan tercetus.
“Diorang ejek saya kerana beg sekolah saya koyak dan buruk.”
Pendek saja dia menjawab, boleh terdengar loghat orang Sabah. Saya minta untuk lihat bag pelajar itu. Memang benar, bag dia yang berwarna merah dan bertali hitam itu koyak teruk. Zip utama bag tidak lagi berfungsi. Saya tarik nafas dalam-dalam.
Bermulalah sesi soal jawab dengan pelajar ini.
“Rumah awak kat mana?”
“Saya tinggal atas Restoran Pelita, cikgu.”
“Wait, atas restoran?”
Biar betul budak ni. Saya pujuk dia untuk membenarkan saya menghantarnya pulang selepas sekolah. Dia bersetuju.
Restoran Pelita yang terletak di SS15, Subang Jaya tidaklah jauh jaraknya dari SMK SS17. Saya berhentikan kereta betul-betul di hadapan Restoran Pelita. Saya minta dia bawa saya ke rumah yang disewa bapanya. He was hesitant at first, tapi kemudiannya dia bersetuju.
Tangga naik ke ruang atas restoran itu gelap, sempit dan berbau. Saya menahan nafas sambil berfikir-fikir tentang kewajaran saya mengikuti pelajar ini di waktu senja rembang. Maklumlah, pelajar menengah rendah bersekolah di sesi petang yang tamat pada pukul 6.45 petang.
“Cikgu, tunggu sekejap,” katanya selepas kami sampai di tingkat atas. Dia kemudiannya masuk ke sebuah bilik. Saya menunggu di luar bilik di tepi tangga. Kawasan tersebut dipenuhi suratkhabar lama dan kotak yang tersusun. Tidak lama kemudian, ibunya muncul dari dalam bilik tepi tangga itu.
“Maaf cikgu, saya tak sempat kemas bilik,” kata wanita itu, yang saya kira usianya menghampiri 40. Saya beritahu tak perlu susah-susah, saya cuma nak hantar anaknya balik saja.
Di celah bukaan pintu, saya boleh lihat hamparan tilam yang nampak lusuh dan sebuah almari lipat berwarna merah jambu. Di dinding bilik terdapat baju-baju tergantung termasuk baju sekolah.
Rupa-rupanya pelajar saya dan keluarganya datang jauh dari Sabah. Asalnya si ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan di tapak pembinaan berdekatan. Kemudian dipindahkan bekerja di tapak pembinaan di Kuala Lumpur. Terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak di Subang Jaya kerana sewa rumah di Kuala Lumpur mahal. Si ibu bercakap tentang hasratnya untuk pulang ke kampung halaman kerana hidup susah di kampung sendiri adalah lebih baik dari susah hidup di kota. Setakat itu saja yang saya ingat dari perbualan saya dengan ibu pelajar saya pada petang Selasa itu.
Saya ingat lagi, pada hari Khamis minggu yang sama, saya mengajak suami saya ke Carrefour Subang Jaya untuk membelikan pelajar ini sebuah beg sekolah baru. Gaji saya yang baru saja bekerja nak masuk 3 tahun dan masih belum disahkan jawatan adalah sangat kecil berbanding gaji guru baru sekarang. Jadi saya beli sebuah bag berwarna biru gelap yang suami saya sendiri pilih dan bajet bawah RM50. Suami saya seorang yang sangat teliti dan cukup pandai memilih barangan berkualiti walaupun pada harga rendah. That’s why I let him chose the bag.
Esoknya saya bawa beg baru itu. Kelas saya dengan pelajar ini adalah sebelah petang, 2 waktu sebelum sesi sekolah berakhir. Sebelum sekolah berakhir, saya panggil pelajar ini ke bengkel Teknologi Kejuruteraan dan minta dia keluarkan semua buku dari begnya. Kami susun buku bersama-sama. Saya juga serahkan sebuah buku nota kecil untuk beliau tulis catatan penting dan senarai kerja rumah yang diberi setiap hari. Saya hantar pelajar ini pulang ke bilik sewa di atas restoran itu.
Tidak lama selepas itu sekolah pun mula bercuti akhir tahun. Tahun berikutnya, saya dapat info yang pelajar ini sudah pun berpindah tapi tak pasti ke mana.
Jika pada tahun 2005, pelajar ini berusia 14 tahun, maka tahun ini iaitu tahun 2020, beliau berusia 29 tahun. Saya tidak ingat namanya tapi saya masih ingat rupa beliau. Doa saya agar hidupnya bersama keluarga lebih senang dan bahagia selalu.