CategoriesHistory

SEJARAH PENUBUHAN KLANG YANG RAMAI TIDAK TAHU

Sejarah penubuhan Klang dipercayai lebih awal dari sejarah penubuhan Melaka. Klang dipercayai adalah sebahagian dari jajahan takluk kerajaan Srivijaya dan Majapahit.

Perkataan Klang dipercayai berasal dari perkataan bahasa Asli, rumpun bahasa Mon-Khmer atau bahasa Austro-Asia iaitu “Klong“. Klong boleh diertikan sebagai gudang seperti mana yang dikemukakan oleh C.O. Blagden yang menyatakan Klang menjadi sebuah pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang-gudang. Charles A. Fisher pula berpendapat “Klang” itu bermaksud “terusan” atau jalan air. Pendapat ini dipersetujui di mana Klang mempunyai banyak jalan air iaitu anak-anak sungai seperti Sg. Klang, Sg. Bertek, Sg. Pinang, Sg. Sementa, Sg Kapar Indah, Sg. Agas, Sg. Kandis, Sg. Binjai, Sg. Kapar, Sg. Jati, Sg. Aur, Sg. Rasau dan Sg. Putus. Nama sungai ini terus kekal sehingga ke hari ini.

Klang menjadi penting hanya selepas Kuala Selangor merosot khususnya selepas kemangkatan Sultan Muhammad (1826-1857). Sehinggalah pada tahun 1875, Klang dipilih sebagai ibu kota Negeri Selangor sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur pada 1880.

Pada tahun 1886, Klang merupakan sebuah tempat yang cantik dan bersih. Bandar Klang mendapat namanya dari istilah bahasa Langkasuka iaitu “klang” yang bererti ‘tempat yang terletak di tengah-tengah’.

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, Sultan Kedah yang bernama Sultan Mahmud Shah II, Kedah (1506-1546) iaitu Sultan Kedah yang ke-10, baginda mula menerbitkan matawang baru yang diberi nama Tera, Pitis, Kupang (Kepeng), Jempal dan Rial. Baginda dari Kota Siputih (kini Kota Seputeh) telah melakukan kunjung hormat ke istana Melaka yang waktu itu yang diperintah oleh Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Di tengah perjalanan, baginda telah menemui sebuah pelabuhan yang terletak di antara negeri Kedah dan Melaka. Pelabuhan tersebut dipanggil sebagai Klang. Nama tersebut kekal digunakan hingga ke hari ini.

Klang merupakan di antara bandar yang tertua di Malaysia. Mengikut sejarah, Klang mula diduduki sejak 2,000 tahun yang dahulu lagi. Catatan yang mula-mula ditulis mengenai Klang bermula pada Zaman Kerajaan Majapahit kira-kira 600 tahun dahulu.

Di sinilah bermulanya detik-detik kebangkitan Klang yang ketika dahulu tidak terikat dengan mana-mana kawasan. Malah pada ketika itu Klang adalah sebuah kuasa besar di bawah pentadbiran Sultan Suleiman. Bagaimanapun, akibat ketidaksefahaman maka berlakulah perang saudara antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah iaitu waris Sultan Suleiman. Ketika itu, Klang di dalam keadaan huru-hara dengan dibayangi peperangan untuk merebut kekuasaan.

Kota Raja Mahadi yang terletak berhampiran Bangunan Majlis Perbandaran Klang adalah antara peninggalan perang saudara yang tercetus disuatu ketika dahulu. Tapak Bangunan Majlis Perbandaran Klang yang ada sekarang dahulunya adalah bekas tapak Kota Raja Mahadi yang pernah menjadi benteng pertahanan yang penting bagi mengekang kemaraan musuh semasa tercetusnya peperangan tersebut.

Bagaimanapun akibat perubahan masa dan struktur bangunan yang tidak kukuh, kota yang dibina pada tahun 1860 telah roboh sebahagiannya. Apa yang tinggal cuma pintu gerbang yang menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi.

Bagaimanapun banyak bahan sejarah yang terkubur akibat perubahan arus dan masa. Salah satunya ialah ada sumber mengatakan Kota Raja Mahadi terletak di atas puncak bukit ini dilengkapi dengan terowong yang boleh menembusi ke Sungai Klang. Namun lorong tersebut kini telah tertimbus.

Port Swettenham, 1907.
Sungai Klang, 1910.

Sumber: Google Images & pelbagai blog

#CikguShah

Published by cikgushah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *