“Betul ke Tok dah pesan kat abah?”
“Hish! Memang aku dah pesan kat Derani tu, suruh dia pesan ke abah kamu!”, balas Tok, kegeraman.
Jam sudah menunjukkan pukul 7.40 pagi. Lagi 20 minit, peperiksaan kemasukan ke MRSM akan bermula. Dan aku masih lagi di depan rumah, menantikan abah.
Dalam kebuntuan, kami terdengar bunyi enjin kereta. Bergegar bunyinya, macam bunyi enjin kereta buruk. Rupanya itu kereta Morris Minor kepunyaan Pak Lang, jiran belakang rumah Bah. Bah ialah panggilan aku kepada nenek kesayanganku.
“On, kamu tunggu. Biar aku jumpa Alang kejap,” arah Bah, sambil membetulkan kain batiknya dan mengambil kain tudung kepala.
Lima minit kemudian, aku sudah pun berada di dalam kereta Morris Minor bersama Bah dan Pak Lang. Kereta Morris Minor itu perlahan benar, tak selaju kereta abah.
“Pak Lang, tak boleh laju lagi ke?” tanyaku.
“Ini yang paling laju, On. Kereta dah tua,” balas Pak Lang.
Perjalanan dari kampung Bah ke pekan terasa sungguh lama, walaupun jarak antara dua tempat itu cuma 15 km. Akhirnya tepat jam 8.25 pagi, kami tiba di depan dewan tempat peperiksaan berlangsung. Aku sudah pun tawar hati. Mana mungkin masa berbaki 30 minit mampu untuk aku menjawab hampir 100 soalan IQ.
“Dah tak boleh masuk ni, makcik. Dah lama mula”, kata guru yang menjaga peperiksaan itu.
“Bagilah peluang kat budak ni cuba. Dari jauh kami datang,” kata Bah.
Entah apa lagi yang Bah cakap kepada orang itu, akhirnya dia bersetuju untuk membenarkan aku masuk ke dalam dewan.
Gedegang!! Bunyi pintu dewan dibuka begitu kuat sehingga seluruh mata di dalam dewan itu memandang tepat ke arahku. Saat itu aku berdoa minta ditelan saja masuk ke dalam tanah. Dewan itu begitu sunyi sehinggakan hanya kedengaran langkah kakiku saja pada waktu itu. Terasa jauh benar untuk sampai ke meja yang tersedia.
Aku hanya mampu menjawab separuh saja soalan peperiksaan itu. Sedangkan itulah impianku: untuk masuk MRSM. Ketika ini, kejayaan mendapat keputusan 4A 1B dalam Penilaian Darjah Lima tidak lagi bererti bagiku. Aku terlepas peluang untuk masuk ke sekolah idaman. Semuanya kerana abah tidak datang membawaku ke tempat peperiksaan pada pagi Sabtu itu.
Aku hanya termenung sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Sesekali terasa tangan Bah mengusap kepalaku, seolah-olah memujuk dalam diam.
*******
Petang Sabtu itu begitu hambar. Kebiasaannya aku akan bermain bola dengan kawan-kawan, tetapi petang itu aku duduk di atas tangga di anjung rumah Bah. Hati ini masih mengharapkan abah untuk pulang menjengukku.
Senja semakin hampir. Langit kian gelap. Tiba-tiba dari kejauhan, kelihatan cahaya lampu kereta. Oh abah rupanya! Aku menunggu sehingga kereta itu masuk ke perkarangan rumah. Dalam samar, aku lihat abah membawa seorang perempuan yang sedang mendukung seorang budak lelaki kecil.
“Kamu, Lid! Kamu pergi mana? Anak kamu nak periksa MRSM pun kamu tak ambil tahu!” Bah menempik dari tingkap rumah sebelah anjung. Di rumah bawah, kelihatan Tok berjalan dari belakang dapur.
“Aku pesan dengan Derani minggu lepas, suruh beritahu kamu yang On ada periksa masuk MRSM. Kamu tak dapat pesanan aku?”
“Takde. Lid tak dapat apa-apa pesanan pun,” balas abah sambil menjeling kepada perempuan di sebelahnya yang sedang memangku budak kecil. Perempuan itu terus mengalihkan muka memandang ke arah lain.
“Kamu, Lid, anak sendiri nak periksa pun kamu tak peduli! Yang kamu kisahkan, bini baru kamu je! Dah kamu dapat bini baru, kamu lupa tanggungjawab kamu dekat anak bini lama”, bentak Bah.
“Betul Derani pesan dekat awak?” tanya abah kepada perempuan itu. Dalam samar senja, jelas kelihatan merah padam muka abah ketika itu.
“Alamak, lupa pula nak beritahu”.
Tok mendengus, meninggalkan abah di halaman rumah. Aku perlahan-lahan masuk ke dalam rumah, tanpa sebarang perasaan lagi. Malam itu Bah berpesan kepadaku,
“On, kalau kamu cerdik, kamu ke mana pun tetap cerdik. Usahlah kamu susah hati.”
*****
“Derani, mari kejap!!” laung Tok kepada Derani yang sedang mengayuh basikal.
“Ye Pak Tuan?” Kelam-kabut Derani membetulkan arah basikal yang sedang dikayuh.
“Kamu betul ke beri pesan aku ke Lid?”
“Sudah! Sumpah Lillah! Saya sendiri pesan ke orang rumah barunya!” balas Derani dengan tangan kanan diangkat seperti mengangkat sumpah.
“Hishhh! Betul-betul tak boleh harap!”, getus Tok sambil melibas kain tuala di bahunya.
Malam itu, Tok bercerita dengan Bah di anjung. Cuaca sejuk nyaman selepas hujan tadi. Seperti biasa, seteko kopi O pekat dengan ubi bakar sudah Bah sediakan. Aroma wangi kopi O pekat menusuk hidung. Bah tuang air kopi untuk kami.
“Apa nak jadi dengan Lid ni. Orang lain kahwin dua, dia pun nak kahwin dua. Habis punah ranah keluarga. Sudahlah nak jumpa pun susah, nak minta urus anak ambil periksa pun payah”, Tok mengomel.
“Jangan budak ni ungkit sampai ke tua, sudahlah.”