Seperti mana kawasan dan benua lain di dunia, Asia Tenggara juga dikelompokkan dalam satu kumpulan kecil negara-negara yang mempunyai persamaan dalam pelbagai aspek, terutamanya bahasa. Untuk memahami penduduk Asia Tenggara, kita perlu mempelajari asal usul bahasa mereka.
Para penutur bahasa Vietnam dan Kemboja sukar memahami antara satu sama lain meskipun bahasa kedua-duanya adalah dalam rumpun bahasa yang sama (Austroasiatik).
Bahasa dominan di Laos dan Thailand pula adalah serumpun kerana dalam kelompok linguistik Kra-Dai dan mampu memahami antara satu sama lain.
Ini lebih kurang macam kita di Malaysia, Indonesia dan Brunei, malah di selatan Thailand dan di Singapura terutama orang Melayu di sana memahami bahasa yang digunakan sesama kita, iaitu berasaskan bahasa Melayu.
Timor Leste pula, rakyatnya masih memahami bahasa Indonesia kerana selain bekas wilayah negara itu, bahasa ini adalah berstatus bahasa kerja di sana. Bahasa Melayu dan variasinya adalah terkelompok dalam kelompok bahasa Malayo-Polinesia dalam keluarga besar Austronesia.
Orang Cham di Kemboja dan Vietnam pula bahasa mereka dalam kelompok Austronesia macam kita tapi rasanya orang Cham di Kemboja ada loghat dia yang boleh difahami sikit-sikit. Pernah dengar orang Cham jual kain cakap Cham (tak tau loghat mana tapi versi senang faham, makcik tu mengaku itu bahasa Cham), kita boleh faham sikit-sikit macam kita orang Melayu dengar orang Jawa cakap Jawa. Lenggok dia macam kesiam-siaman tapi butir dia macam cakap Kelantan pun ada.
Bahasa Tagalog di Filipina serta bahasa-bahasa pribumi di sana memang tergolong dalam kelompok Austronesia sebagaimana kita di sini namun perasan tak jika kita menonton drama ‘soap opera’ Filipina, kita agak sukar memahami butir perkataannya jika dibandingkan nak faham sinetron Indonesia. Tetapi ini ada trivia sikit, jika kita perhati betul-betul, memang ada perkataan-perkataannya sama dengan kita macam ako (aku), langit, anak dan sebagainya.
Orang Burma pula bahasanya dalam kelompok Sino-Tibetan yang juga terkelompok di dalamnya bahasa-bahasa Cina. Namun menariknya orang Burma sukar mengerti bahasa yang dituturkan orang-orang Cina.
Kredit: FB group ASEAN World – Southeast Asia Network